Sunday, January 12, 2014

Dr Ak Johan Meta States Siri 01

Dr Ak Johan Meta States Siri 01
"Johan Meta-States" adalah sambungan daripada cerita "Mat Jenin" yang meletup pada suatu masa dulu. Ianya divisualisasi, dikarang dan diterbitkan untuk mengisi kekosongan bahan kesusasteraan Meta-State Conscientiousness TM yang meliputi Neuro-Linguistic Coaching (NLP), Neuro-Semantics (NS), Law of Meta-Attraction TM, Meta-Hypnosis TM, Time-Line Meta-Therapy TM dan seangkatan dengannya. Semoga kisah ini membantu pembaca memahami ilmu kecemerlangan diri dengan lebih mudah secara santai. Bagi yang belum kenal atau ingat-ingat lupa cerita asal Mat Jenin boleh:

"Kan nama Mat Jenin tu sedap didengar, mengapa Cu hendak tukar kepada Johan pula?" tanya nenek kepada Mat Jenin yang duduk bersandar di hujung katil beralaskan bantal berwarna kuning. Dari kain cadar, kelambu, tirai dan pakaian Mat Jenin semuanya berwarna kuning. Nenek sabar menunggu suara yang bakal keluar dari mulut Mat Jenin, matanya difokuskan pada bibir Mat Jenin, bagai menunggu berlian keluar dari mulut itu. Sudah tiga hari Mat Jenin terjaga dari lena yang panjang setelah jatuh dari pohon kelapa.

Semua orang termasuk nenek menyangka Mat Jenin sudah meninggal dunia. Ketika diangkat ke rumah ketua kampung, badannya lemah, tidak bergerak langsung. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia bernyawa lagi sehinggalah Pawang Hitam datang menjengguk apabila dijemput oleh Husin, anak Penghulu Hasan. Setelah membaca jampi serapah dan ketika asap kemenyan berkepul-kepul mengeluarkan bau yang semerbak, Pawang Hitam memukul-mukul mayang pinang ke tubuh Mat Jenin yang terkujur layu. Kemudian Pawang Hitam seolah-olah bercakap-cakap sesuatu dengan makhluk yang tidak dilihat oleh mata kasar yang ada di situ.

Sejak kejadian itulah nenek disuruh oleh Pawang Hitam menyediakan pakaian berwarna kuning, kelambu berwarna kuning, langsir berwarna kuning, serba-serbi berwarna kuning untuk kegunaan Mat Jenin. Kata Pawang Hitam, Mat Jenin dalam jagaan bunian, dia sedang dilatih untuk menjadi Pawang Besar yang hebat oleh Tok Syeikh berjanggut putih, ketua penduduk bunian yang tinggal dihujung kampung mereka, bersebelahan dengan hutan simpan kerajaan. Walaupun Mat Jenin bukanlah cucu darah dagingnya, nenek sanggup menunaikan permintaan Pawang Hitam itu kerana rasa bersalah, sedikit sebanyak dia juga terlibat atas bencana yang menimpa Mat Jenin.

Dengan nada yang lemah Mat Jenin bersuara, "Saya benci dengan nama Mat Jenin Nek. Dengan nama itulah saya dihina. Dengan nama itulah saya terjatuh dari pohon kelapa, dan dengan nama itulah saya akan diejek sepanjang zaman. Mereka tidak faham apa itu visioning dan apa itu well-rounded ending". Nenek yang sedang memberi sepenuh perhatian semakin binggung. "Apa yang kau merepek ni Cu, Nek tak faham. Apa itu visioning? apa itu well-rounded ending Cu?" kata nenek, tidak mengerti bahasa Inggeris yang kadang-kadang keluar dari mulut Mat Jenin.

Sejak sedar dari tidur yang panjang, banyak perkataan pelik yang disebut oleh Mat Jenin. Kebanyakannya bahasa Inggeris. Setahu nenek Mat Jenin tidak pernah berbahasa Inggeris sebelum jatuh dari pohon kelapa. Semasa tidak sedarkan diri selama tiga minggu, nenek selalu dengar perkataan Inggeris disebut oleh Mat Jenin ketika mengigau di tengah malam, "That's your map and it's not a award... That's your map and it's not a award.... That's your map and it's not a award" dan ada juga sekali-sekala "See what you see, drawback what you drawback and feel what you feel...", nenek tidak mengerti apa yang sedang berlaku pada Mat Jenin dalam mimpinya.

Mat Jenin membisu lagi, dia tahu kalau diterangkan kepada nenek, pasti nenek akan lebih bingung dan pasti dia terpaksa melayan lebih banyak soalan lanjutan dari nenek. Dibiarkan pagi yang cerah disirami cahaya matahari dari celah dinding papan gerobok nenek berlalu dengan sepi. "Rehatlah Johan! Nek mahu ke kebun mencari pucuk ubi untuk dibuat ulam", kata nenek tidak mahu melengahkan waktu, banyak yang mahu dilakukannya sebelum matahari terik.

"Baiklah Nek", kata Johan sambil tersenyum puas, dia gembira nenek sudah menerima nama barunya, Johan. Nenek yang sedang berjalan tiba-tiba berpaling dan bertanya "Johan saja Cu, tak ada tambah-tambah lagi?". Johan berfikir kemudian menjawab, "Selamat! Ya! Johan Selamat, Nek". Nenek mengangguk dan tersenyum, dalam hatinya berkata "Memang sesuai, Johan Selamat... macam cerita Ibu Mertuaku, Kassim Selamat... ".

bersambung... Dr AKhttp://www.bengkelmatlab.com/
http://www.bengkelnlp.com/

0 comments:

Post a Comment